Saturday, 4 June 2016

Bukan Salah Cikgu - Azmira Azman



Tajuk:  Bukan Salah Cikgu
Penulis:  Azmira Amran
Penerbit:  Kopi Cetak Sdn. Bhd.
Cetakan:  Pertama April 2016
Harga: RM 20.00

Sinopsis Belakang Buku:

"Nak hantar sekolah swasta tak mampu, nak pergi sekolah awam, macam-macam hal pula.  Tengok surat khabar asyik keluar pasal guru dera murid."

"Sistem pendidikan kita rosak!  Kami yang kat sekolah ni terperangkap dengan sistem.  Semua salah orang atas!"

"Ramai cikgu yang malas.  Suruh buat fail tak buat.  Suruh guna cara mengajar baru, tak nak.  Habis tu macam mana nak laksana polisi baru ni?  Kata nak ubah sistem pendidikan."

Makin ramai orang belajar tinggi-tinggi, makin teruk sistem pendidikan kita.  Macam mana jadi macam ni?

Komen:

Sebagai seorang cikgu, masa ternampak buku ni di kedai buku MPH, mata terus terpaku (cewah), disebabkan tajuknya tu.  Menarik. Bukan salah cikgu? Hmm....

Tengok designnya, sebiji format kertas peperiksaan awam (PMR/SPM).  Perasan tak?  Lepas tu, tengok penulisnya, Azmira Amran.  Tak kenal.  Lepas tu pulak... Master in Education & Globalisation, UNIVERSITI OF OULU FINLAND.  Hmmmmm....... Double menarik!

Sebab apa?  Sebab 2 / 3 tahun lepas, saya diminta menghadiri taklimat berkenaan dengan kajian TIMMS & PISA.  Disana, saya didedahkan dengan apa itu TIMMS & PISA, sejarah, objektif, negara yang terlibat.... dan macam-macam lagilah.  Penceramah juga bercerita tentang negara-negara yang berada dalam top ten kajian ini.  Maka timbullah nama Finland dan kisah sistem pendidikannya.  Saya jadi "curious".  Sangat-sangat.

Sekarang saya mengajar dalam subjek Sains.  Sebelum ini Kimia (lebih kurang 20 ++ tahun).  Selama mengajar kimia, KEBANYAKAN pelajar yang memasuki aliran sains, lupa apa yang telah dipelajari semasa di peringkat menengah rendah (Tingkatan 1 - 3).  Saya terpaksa mengulang balik konsep asas yang sepatutnya mereka tahu.  Penat.  Sebab kebetulannya saya mengajar di sekolah yang prestasinya baik di kalangan daerah saya.  Maka, tekanan untuk sentiasa menghasilkan peratusan lulus / cemerlang yang tinggi sangat ditekankan.  Setiap kali mesyuarat post mortem peperiksaan, saya akan tension.  Perlu ada sebab yang munasabah kenapa peratusan lulus begini, peratusan cemerlang begini.  Alasan yang pelajar malas, tak siapkan kerja yang diberi, dan macam-macam situasi dalam kelas yang kita semua tahu (sebab kita pun pernah jadi pelajar dulu kan!) semuanya tak boleh diterima, sedangkan itu adalah antara realitinya. Akhirnya kerana nak mengejar peratusan tinggi, maka pengajaran lebih berbentuk "exam oriented".  Habiskan sukatan secepat mungkin, kemudian buat latih tubi.  Satu tindakan yang sangat saya tak suka sebab saya memang dari sekolah lagi (zaman pelajar) cukup tak suka dengan peperiksaan sebab saya bukan pelajar yang pandai.  Yang saya perasan, saya akan lebih mengingati subjek / topik yang saya belajar, kalau saya minat atau suasana pembelajaran itu menyeronokkan.  Saya cuba buat perkara yang sama terhadap pelajar saya.  Saya banyak buat eksperimen, saya banyak kaitkan kimia dengan kehidupan seharian, tayangkan video atau apa saja yang ada disekeliling yang berkait dengan kimia.  Sebab saya sangat percaya dengan setiap ilmu itu perlu diamalkan.  Sama seperti apa yang Islam ajar.  ILMU PERLU DIAMALKAN.  Kalau tidak, kita diibaratkan sebagai pohon yang tidak berbuah.  Tapi, macam mana nak diamalkan ilmu kalau hanya peratus atau bilangan A saja yang difikirkan.  Pelajar diajar teknik untuk skor dalam peperiksaan.  Bukannya bagaimana nak amalkan ilmu.  Saya menyaksikan beberapa kali rombakan sukatan matapelajaran di sepanjang saya menjadi cikgu.  Matlamatnya bagus - supaya ilmu tidak hanya berkisar dalam kelas, di kertas peperiksaan.  Malangnya, realiti tidak begitu.  Masyarakat masih memandang bilangan A.  Maka, buatlah berapa kali "rebranding" sukatan pelajaran pun, selagi minda masyarakat (dan tidak dinafikan sebahagian guru) tidak berubah, kita akan berada di takuk yang lama.  Memang ada rakan guru yang mempertikaikan cara saya yang tak berapa menekankan sangat latih tubi ini.  Memang tension.  Jiwa saya memberontak.  Bila PBS dilaksanakan, sekolah menghantar saya menghadiri kursus.  Saya seronok, sebab saya rasakan yang PBS ini lebih menekankan PENGAMALAN ILMU.  Bila disebarkan pada guru, ada yang menyambut baik, ada yang masih keliru.  Ada juga yang menolak terus.  Itu belum lagi dengan ibu bapa.  Macam-macam komen yang diterima, kebanyakannya negatif.  Jadi, macam mana kita nak maju kalau kita tak mahu berubah?

Berbalik pada kisah Finland tadi, selepas taklimat TIMMS & PISA, balik rumah, saya mintak bantuan pakcik google & makcik youtube tentang pendidikan di Finland.  Yang saya dapati, Finland asalnya adalah antara negara yang miskin di Eropah selepas perang dunia kedua, tapi boleh mengubah sistem pendidikannya dalam masa lebih kurang 30 tahun.  Saya terfikir, Malaysia pun dah merdeka lebih lama daripada Finland.  1957 hingga 2015 saja sudah mengambil masa 58 tahun.  Kenapa kita masih di takuk lama dalam masa 58 tahun?  Jepun pun tak mengambil masa yang terlalu lama untuk berubah selepas letupan bom nuklear di Hiroshima dan Nagasaki.  Pada pandangan saya, semuanya bermula pada SIKAP.

Sebagai guru, saya tak minta kita jadi Finland.  Di Finland sendiri, perubahan polisi masih berlaku.  Cukuplah kalau setiap lapisan masyarakat sedar yang kita perlu berubah.  Ubah semula mindset kita tentang makna pembelajaran, kejayaan dan tujuan belajar.  Belajar bukan untuk dapat kerja.  Belajar untuk cari ilmu.  Ilmu bukan hanya untuk peperiksaan.  Memang peperiksaan penting, tapi ia bukan segala-galanya.  Setiap orang dilahirkan sebagai orang yang cemerlang.  Sperma yang cemerlang sahaja yang mampu mensenyawakan ovum dan berkembang menjadi manusia.  Cemerlang kita tidak sama.  Jadi kita perlu mula mengubah sudut pandang kita terhadap konsep belajar.  SEMUA ORANG.  Bukan hanya cikgu.  Bukan hanya orang yang terlibat dengan Kementerian Pelajaran atau Lembaga Peperiksaan atau Institusi Perguruan.

Saya memang bersetuju dengan penulis tentang pandangannya.  Ini pandangan saya.  Kalau ada yang masih bersetuju dengan kaedah lama, bacalah buku ini dengan minda yang terbuka.  Agree to disagree.

2 comments:

  1. Ada lagi tak buku ni kat bookstore? huhu anyway a good entry though!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena usaha lebih sikit nak cari buku ni, sebab dah lebih setahun diterbitkan. Kalau di pesta buku mungkin senang nak cari atau contact penerbit terus.

      Delete