Wednesday, 18 March 2015

Ramadhan al-Mubarak

Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan. – Lima Minit

Ramadhan datang lagi….. (Suatu peringatan buat diriku yang mudah lupa).
Bulan yang penuh berkat dan rahmat dari Allah.
Kita pun berpuasalah… dari fajar subuh sampailah terbenam matahari.  Tak makan dan tak minum (semua orang tahu ni); tak buat perkara-perkara yang membatalkan puasa. (Hmm….apa dia ya?)
Dari buku Fardhu Ain Rumanis:
Syarat wajib puasa:

  1. Berakal
  2. Baligh
  3. Kuasa
Yang membatalkan puasa:
  1. Memasukkan sesuatu barang ke dalam rongga lubang anggota seperti makanan atau minuman dengan sengaja.
  2. Muntah dengan sengaja.
  3. Bersetubuh atau jimak di siang hari. (ada hukumannya)
  4. Keluar mani sebab bersedap-sedap yang bukan bersetubuh kecuali keluar dengan sendirinya atau bermimpi (tidak batal puasanya).
  5. Haid atau nifas (bagi perempuan)
  6. Gila
  7. Murtad
Sunat Puasa:
  1. Menyegerakan berbuka
  2. Makan sahur dan melambatkannya selama fajar belum terbit.
  3. Membaca doa ketika berbuka.
  4. Meninggalkan perkataan-perkataan yang keji-keji.
  5. Memperbanyak sedekah, membaca Quran dan lain-lain.
Mudah-mudahan puasa kita diterima Allah.
Sekadar renungan….dari buku “Rasulullah s.a.w. bertanya Iblis menjawab”:
Sabda Rasulullah s.a.w.:  “Wahai iblis, bagaimana pula keadaanmu apabila ummatku mengerjakan puasa dalam bulan Ramadhan kerana Allah s.w.t.?”
Berkata Iblis: “Ya nabi Allah, inilah satu bencana dan kesedihan yang teramat sangat kepadaku dan terhadap keseluruh bala tenteraku atas sebab berikut:
  1. Apabila masuk sahaja awal bulan puasa Ramadhan maka akan memancarlah cahaya Arsy Rahman dan Kursi, dan semua malaikat menyambut kedatangan bulan Ramadhan itu dengan penuh kegembiraan yang amat sangat.
  2. Bagi orang-orang Islam yang berpuasa pula mereka mendapat satu kurnia yang sangat besar dari Allah s.w.t. dan dosanya diampunkan, dan begitu juga dengan dosa-dosa yang telah lalu digantikan dengan anugerah pahala dari Allah berganda-ganda, segala kesalahan yang dilakukannya tidak akan dicatit selama dia berpuasa.  Ini semua menyebabkan aku merasa dukacita yang amat sangat.
  3. Yang paling menyakitkan hatiku ialah semua isi langit dan bumi, bulan, bintang, malaikat, segala kehidupan didarat dan dilaut hatta burung yang terbang diudara dan semua yang bernyawa akan mendoakan siang dan malam memohon keampunan dari Tuhan mereka kepada orang-orang yang melakukan ibadah puasa.  Satu lagi yang menyedihkan aku ialah, setinggi-tinggi yang didapati oleh orang yang berpuasa Ramadhan ialah dimerdekakan oleh Allah tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan 1000 kemerdekaan dari azab neraka, demikian juga ditutup pintu neraka dan dibukakan pula semua pintu syurga dengan selebar-lebarnya dan akan bertiuplah angin yang terdapat di bawah arsy yang sepoi-sepoi itu melalui syurga.
Ketahuilah, dihari umat Islam berpuasa Ramadhan, maka akan turunlah para malaikat dengan perintah Tuhan untuk menangkap kami dari bangsa iblis dan juga syaitan, lalu dibelenggu dan dirantainya kami semua dengan rantai besi yang sangat panas, lalu dimasukkan kami semua ke bawah bumi yang paling bawah sekali dan diazab dengan siksa azab yang amat sangat, siksaan ini akan berterusan sehingga semua umat Islam selesai berpuasa barulah kami semua dibebaskan kembali.
Semua ini dilakukan oleh Allah s.w.t. supaya kami tidak mengacau dan mengganggu ummatmu yang mana mereka sedang mengerjakan puasa.  Mereka akan merasa lega dan gembira melakukan ibadah puasa tanpa gangguan dari kami, demikian juga di kala bangun untuk makan sahur diwaktu tengah malam, mereka akan merasa senang dan ringan dari perasaan malas dan takut sepertimana diwaktu bulan lain.

No comments:

Post a Comment