Sunday, 1 October 2017

Cikgu Kelas Sebelah - Fadli Salleh


Tajuk:  Cikgu Kelas Sebelah
Penulis:  Fadli Salleh
Penerbit:  Komrad Buku
Harga:  RM 20.00 (Semenanjung Malaysia)
             RM 23.00 (Sabah & Sarawak)
Cetakan pertama 2017

Sinopsis Belakang Buku:

Orang kata, jadi cikgu zaman sekarang tidak seronok seperti dulu lagi.  Terlalu banyak beban, terlampau banyak tekanan.  Kalau kau cikgu, pandai-pandailah mencari keseronokan sendiri.  Agar semangat tidak hilang, agar cinta terhadap profesion terus membara.

Aku mahu mengajar dengan gembira dan mahu murid belajar dengan seronok.  Jadi ini yang sering aku lakukan.  Aku suka bermain watak seorang kawan kepada murid.  Watak guru di luar daripada kebiasaan.  Watak yang paling kurang, menyeronokkan aku dan memberi semangat untuk terus bertahan di arena yang makin mencabar.

Saat kau bersama murid, sebenarnya masih sama seperti dulu-dulu.  Kau dan murid, di dalam kelas, kaulah raja.  Kalau kau raja yang bijak, kau tadbirlah negeri kecil kau dengan bijaksana, persetankan segala bebanan yang menunggu.  Saat melangkah masuk kelas, ingatlah:  Kau Raja!

Jom join aku jadi guru di luar daripada kebiasaan.  Jom jadi 'Raja' di dalam 'negeri kecil' yang penuh dengan kegembiraan.

Try baca dulu page 35, 105 & 125.

Komen:

 Cerianya sinopsis buku ni.  Isi dalam pun penuh dengan kisah banyak kisah ceria.  Kebetulan pula, penulis ni guru sekolah rendah, maka memanglah banyak kisah-kisah ceria.  Maklumlah.... budak-budak kecil.  Kerenahnya memang mencuit hati walaupun kadang-kadang menduga kesabaran.

Kisah suka duka seorang guru sekolah rendah.  Dalam banyak keadaan, memang betul kata pepatah, "Don't judge a book by its cover."  Saya sebagai guru sekolah menengah pun banyak mengalami kisah seperti penulis.  Banyak kali, masalah disiplin yang timbul di sekolah, berpunca dari rumah.  Serba salah di buatnya.  Nak dikenakan tindakan, bukan salah pelajar 100%.  Keadaan yang memaksa mereka jadi sebegitu rupa.  Nak dilepaskan sahaja, tak adil pula untuk pelajar lain.  Kalau dihubungi ibu bapa, ada pelbagai respon.  Ada yang beri kerjasama.  Ada yang langsung menyepi.  Ada yang lepaskan semuanya pada guru.  Ada yang menyuruh cikgu terus telefon polis supaya ditangkap saja anaknya.  Dia sudah tak mahu bertanggung jawab!  Itu kisah pahitnya.  Dalam setiap kisah, pasti ada juga yang manisnya.  Ada yang melucukan.  At the end of the day, selalunya saya selalu teringatkan anak sendiri.  Elokkah perangai anak saya di sekolah?  Adakah cikgunya sanggup melayan kerenah anak saya?  Anak-anak kita ni, ada kalanya pelakon handalan.  Depan kita lain perangainya, belakang kita, lain.  Mungkin itu juga salah satu faktor ibu bapa kurang percaya bila pihak sekolah memanggil mereka ke sekolah atas urusan disiplin.

Anyway, bagi yang ingin menyelami kerjaya guru, bolehlah membaca buku ini.  Mungkin boleh menyelami sedikit apa yang perlu kami hadapi setiap hari.  Kerja kami bukan hanya mengajar dalam kelas, tapi lebih dari itu.  Dan kerja kami bukan hanya dari 7.30 pagi hingga 2.30 petang.  Selalunya lebih dari itu. Kadang-kadang sampai ke hujung minggu.  Kita semua satu masa dulu pernah jadi pelajar.  Bayangkanlah bagaimana guru-guru kita dulu menghadapi kerenah kita dari mula kita darjah 1 (atau tadika) hinggalah habis SPM / STPM.

No comments:

Post a Comment